Muka baru penyelamat hayat PBB, SUPP
Oleh Jeniri Amir
2010/12/15
Wakil rakyat muda DUN Sarawak lebih dinamik galas harapan masyarakat


BANYAK parti politik yang berjanji untuk menampilkan muka baru pada pilihan raya akan datang. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pimpinan Tan Sri Dr George Chan Hong Nam memberitahu akan mengemukakan 30 peratus muka baru. Kini, PBB, parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak, menakluki 35 kerusi, manakala SUPP 11 kerusi. Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan lapan kerusi masing-masingnya dalam genggaman Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP). Hakikatnya, setiap pilihan raya, pasti ada calon baru ditampilkan. sebagai strategi dan pendekatan ampuh untuk menyuntik pemimpin yang lebih muda, dinamik serta relevan dengan kehendak semasa. Maksudnya, peremajaan parti hanya dapat dimungkinkan dengan langkah terbabit. Jika tidak, parti akan diwakili pemimpin yang sudah berusia. Hakikatnya, satu daripada faktor menyebabkan SUPP ditolak pengundi Cina di bandar adalah kerana muak dengan kedegilan pemimpin parti itu untuk terus mengekalkan pemimpin lama. Sebenarnya, kritikan itu turut ditujukan kepada George Chan sendiri. Menyedari pentingnya wakil rakyat yang sudah tidak lagi efektif diberi peluang, PBB dijangka menggugurkan 10 calon pada pilihan raya ke-10 nanti, dijangka April depan. Ini menyebabkan penyandang kerusi terbabit keluh kesah dan tidak tidur lena, manakala mereka yang berpotensi menjadi calon mulai turun padang dan melemparkan senyuman manis kepada pengundi. Beberapa nama sudah diumumkan tidak akan lagi bertanding meskipun ada yang belum rasmi lagi. Paling menarik, ada penyandang dan penyokong penyandang kerusi terbabit tidak mahu wakil rakyat berkenaan berundur.
Mereka mahu terus berkhidmat kepada rakyat dengan mengatakan agenda perjuangan belum selesai. Penyokong penyandang mengeluarkan kenyataan dan rayuan dalam akhbar tempatan bagaimana mereka masih memerlukan wakil rakyat terbabit. Seolah-olah tidak ada calon lain yang dapat menjadi pengganti. Sama ada ini benar-benar sokongan ikhlas dan suara hati penduduk atau mereka diminta berbuat demikian, adalah sesuatu yang tidak sukar dijangka. Benarkah seseorang pemimpin itu terlalu penting dan sukar dicari ganti? Atau ini hanya helah bagi mereka untuk terus menggenggam kerusi berkenaan? Beberapa bulan lalu, seorang bekas wakil rakyat memberitahu bagaimana seorang wakil rakyat menyatakan kebimbangan tidak lagi diminta untuk bertanding. Beliau risau dia kehilangan segala elaun dan ganjaran lain yang diterimanya sejak puluhan tahun. Bagaimanakah beliau dapat mengekalkan gaya hidupnya selama ini?
Kepemimpinan PBB tidak tunduk dengan pelbagai tekanan dan rayuan secara langsung atau tidak oleh wakil rakyat terbabit. PBB perlu tegas dan berani untuk memastikan parti itu terus relevan dalam keadaan landskap politik yang sudah jauh berubah. PBB perlu menampilkan calon yang memiliki kelayakan akademik, berpengalaman, pintar dan disenangi rakyat. Untuk itu, tidak usah tunduk dengan permintaan dan rayuan wakil rakyat yang mahu terus diberi peluang. Peluang untuk mereka berkhidmat lebih daripada memadai. Ada wakil rakyat yang hendak digugurkan itu berkhidmat lebih 20 tahun.
Kuasa memang memabukkan. Mereka yang mabuk arak dapat pulih, tetapi pemimpin yang mabuk kuasa sukar dipulihkan. Mereka terus mahu mengekalkan kuasa walaupun sedar rakyat tidak lagi menyukainya. Pengundi telah mulai jenuh dan letih melihat sebahagian wajah lama yang tidak memperlihatkan prestasi dan komitmen tinggi.
Jika PBB serius memulihkan imejnya dan ingin menarik perhatian golongan muda, ia harus berani mengambil tindakan drastik dari segi calon. Daripada sekurang-kurangnya 10 muka baru yang hendak dikemukakannya, pastikan mereka daripada pelbagai latar belakang profesion. Jika kita perhatikan teraju kepemimpinan sekarang, rata-rata mereka sudah berusia, terutama barisan depan. Justeru, tibalah waktunya, PBB mengemukakan muka baru daripada pelbagai kelompok usia.
Kita memerlukan pemimpin muda yang memiliki visi, misi dan ideologi perjuangan yang jelas dan tegas. Kehadiran ahli politik muda dalam DUN Sarawak dianggap sebagai lambang regenerasi parti politik dan seterusnya mereka inilah yang dapat menjawab harapan masyarakat. Era generasi muda memimpin bangsa dan masyarakat sudah menjadi keperluan terutama ketika kepemimpinan orang lama diragui. Kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika harus menjadi pemacu dan penggalak psikologi terhadap kehadiran pemimpin muda. Sesungguhnya, tuntutan untuk memberi peluang lebih banyak kepada pemimpin muda bukan saja berlaku di negara ini, tetapi juga di rantau ini dan seluruh dunia.
Penulis ialah pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak
INFO: Kriteria disyorkan untuk gugurkan penyandang
•Mereka yang sudah menjadi wakil rakyat melebihi tiga atau empat penggal.
•Penyandang yang mendapat majoriti kecil pada pilihan raya 2006.
•Penyandang yang tidak lagi berkesan sebagai wakil rakyat dan tidak mengutamakan rakyat.
•Penyandang yang angkuh dan mementingkan diri sendiri serta keluarganya.